Iskandar Halim (empat kiri) bersama pegawainya memusnahkan beg tangan tiruan sebagai simbolik pada program Pelupusan Ekshibit Perdana hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

MEREKA yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti barangan tiruan bernilai lebih RM30,000 tidak lagi disaman atau dikenakan kompaun sebaliknya direman sebelum didakwa di mahkamah.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, mereka akan didakwa di mahkamah mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) mulai bulan ini.

“Kita tidak akan keluarkan lagi saman atau kompaun kepada mereka sebaliknya kita tangkap dan reman selama beberapa hari sebelum membawa mereka ke mahkamah untuk didakwa.

“Pihak yang terbabit dengan barang tiruan ini kita akan pastikan mereka didakwa di bawah akta pengubahan wang haram,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP di Nilai hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan itu bertujuan membasmi sepenuhnya aktiviti penjualan dan penggunaan barang tiruan.

“Kami (KPDNHEP) komited membanteras masalah ini dan ia peringatan untuk semua,” katanya.

Pada majlis itu, Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP melupuskan pelbagai barangan tiruan membabitkan 78 kes bernilai RM6.7 juta antaranya beg tangan wanita, kasut, arak dan pakaian.

Turut dilupuskan 62,166 katrij dan toner tiruan bernilai RM3.1 juta.

Iskandar Halim berkata, KPDNHEP turut menampung kos tinggi untuk melupuskan barang tiruan yang dirampas kerana kerja itu tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 11:27 PM