OKT yang melarikan diri di tahan Beseri, Perlis.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


ORANG kena tuduh (OKT) yang melarikan diri ketika hendak dihantar ke lokap Balai Polis Kulim, kelmarin, ditahan polis di Perlis malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, lelaki itu ditahan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

Menurutnya, suspek ditahan di kawasan Beseri, Perlis pada 9.45 malam dan sudah dibawa ke Kedah untuk siasatan lanjut.

“Teman wanitanya pula ditahan petang hari ini selepas menyerah diri di IPD Kulim.

“Kita akan memohon perintah tahanan reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 223 /224 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.

Portal Harian Metro kelmarin, melaporkan lelaki bertindak melarikan diri ketika hendak dihantar ke lokap selepas gagal membayar wang denda RM11,000 apabila Mahkamah Majistret Kulim menjatuhkan hukuman terhadapnya, kerana memecah masuk pasar raya.

Dalam kejadian 3 petang, lelaki terbabit, Muhammad Ashaaru At Tamimi Ali, 26, datang sendiri ke mahkamah untuk keputusan jatuh hukum kerana diberi dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebelum ini.

Berita berkaitan

Bolos dari mahkamah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 11:13 PM