GAMBAR hiasan
BERNAMA

KAJIAN mengenai sistem subsidi petrol secara bersasar terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 kini di peringkat akhir sebelum mekanisme itu dilaksanakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua perkara yang berkaitan sudah dimuktamadkan kecuali data penerima yang kini dalam proses kemas kini.

“Apabila proses itu (data penerima) selesai, kerajaan boleh umumkan pelaksanaan subsidi bersasar ini supaya berlaku penjimatan dan ia boleh digunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan ‘Seminar On Energizing Sustainable Development Goals: for People, Ecosystem and Planet’ di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UM, Datuk Dr Nik Abdul Rahim Hashim.

Rakyat Malaysia dianggar menggunakan 1.2 bilion liter petrol sebulan dengan 90 peratus daripadanya ialah RON95 bersubsidi manakala selebihnya RON97.

Februari lalu kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 dihadkan pada kadar RM2.08 untuk semua pengguna tanpa mengira kenaikan harga minyak global.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, Rang Undang-Undang Pembaziran Makanan dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, penyediaan RUU berkenaan sudah siap 75 peratus manakala baki 25 peratus lagi ialah perincian akhir dengan Kementerian Kewangan berhubung pengecualian cukai kepada penderma.

“Berdasarkan taklimat penasihat perundangan, kita berada di landasan betul dan diharap menjelang akhir tahun ini kita boleh bentangkan di Parlimen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 10:21 PM