Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


LELAKI maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya merempuh belakang kenderaan lain di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, berhampiran tangki air Semambu dekat Kuantan, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, Mohd Yasseer Syaddad Roslan, 32, beralamat di Taman Cergas, Kertih, Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan terlanggar bahagian belakang kenderaan lain, yang berkemungkinan besar lori, hingga mengakibatkan kereta mangsa remuk teruk pada bahagian hadapan.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi tujuan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, sehingga kini belum ada pemilik kenderaan yang dipercayai terbabit dalam kemalangan itu tampil membuat laporan polis.

Katanya, orang awam yang menyaksikan kemalangan terbabit diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu pihak polis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 9:51 PM