FOTO Hiasan
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


HANYA seorang penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang masih ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori di negeri ini.

Dua daripadanya masing-masing pegawai JPJ yang kini bertugas di Perlis dan bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula dibebaskan, hari ini.

Semalam, ketiga-tiga mereka direman selepas penahanan memasuki fasa ketiga dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan 21 individu.

Menurut sumber, SPRM turut mengesan kenderaan pegawai JPJ terbabit iaitu Ford Ranger yang baru setahun dibelinya.

“Kenderaan itu ditemui di sebuah bengkel di Seberang Jaya jam 6 petang, hari ini, dan kita yakin ia mungkin dibeli menggunakan wang rasuah.

“Kita sudah membawa kenderaan ini menggunakan trak tunda untuk siasatan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan terhadap pegawai JPJ berusia 30-an terbabit dan berharap ia bakal memberi petunjuk baru dalam siasatan kes rasuah itu.

Sebelum ini, dalam fasa pertama, seramai 24 penguat kuasa JPJ di reman SPRM.

Fasa kedua pula, seramai 22 pegawai JPJ dipanggil memberi keterangan dan lima daripadanya kemudian direman sebelum dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 8:49 PM