MUHYIDDIN (tiga kanan) bersama Hashim (dua kiri) dan Satiful Bahari Mamat (tiga kiri) bergambar selepas Majlis Menandatangani MoU di TTITC. FOTO Rozainah Zakaria
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


PELAJAR sekolah pondok dan Sekolah Menengah Agama (SMA) yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan diserapkan untuk menceburi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, perbincangan akhir membabitkan beberapa institusi pengajian awam milik kerajaan Persekutuan dan negeri yang menawarkan TVET sedang dilakukan.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM2 juta bagi membiayai kos pelajar sekolah pondok dan SMA di seluruh negeri mengikuti TVET.

“Langkah kerajaan negeri serapkan pelajar sekolah pondok dan SMA menceburi bidang TVET bertujuan melahirkan lepasan sekolah agama mahir dalam bidang teknikal.

“Apabila program itu dilaksanakan, pelajar sekolah pondok dan SMA tidak perlu ke institusi pengajian yang menawarkan TVET, sebaliknya mereka akan menghantar pensyarah untuk mengajar, termasuk pada hujung minggu,” katanya yang mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Majlis Graduasi Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) di Kampung Teris, Kuala Berang, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah TTITC, Muhyiddin Abdul Rashid; Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Timur, Wan Fadzillah Wan Dagang dan Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Norcahaya Hashim.

Pada majlis itu, lima perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani antara TTITC dan rakan strategik termasuk Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) yang diwakili Pengurus Besarnya, Hashim Bojet.

Satiful Bahari yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Paka berkata, langkah kerajaan negeri melaksanakan TVET dalam kalangan pelajar sekolah pondok dan SMA bagi memahirkan pelajar yang sebelum ini hanya memberi tumpuan kepada pendidikan agama termasuk menghafaz al-Quran.

Katanya, usaha dilakukan kerajaan itu bagi membolehkan pelajar menimba ilmu pengetahuan tambahan dan merebut peluang pekerjaan dalam bidang teknikal selepas menamatkan pengajian di sekolah pondok serta SMA.

“Antara bidang TVET dikenal pasti untuk dilaksanakan adalah seni ukiran kayu, katering, pastri, jahitan dan membaiki motosikal selain program peringkat sijil akan dilaksanakan di semua lapan kawasan Parlimen di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 8:37 PM