Dr Sheikh Muszaphar Shukor menyampaikan ucapan pada Wacana Ilmu Kembara Ke Angkasa di UPNM. FOTO Saifullizan Tamadi
BERNAMA

MISI menghantar angkasawan kedua negara pada 2030 adalah misi berbeza dan tidak sama seperti 12 tahun lalu, kata Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Beliau berkata, misi menghantar angkasawan kedua di bawah Pelan Tindakan Agensi Angkasa Lepas Nasional perlu berbeza daripada misi pertama.

“Menetap di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama tiga hingga enam bulan di sana boleh dijadikan misi 2030 atau kita boleh lakukan ‘spacewalk’ di sana yang mana saya tidak buat ketika di sana.

“Misinya perlu berbeza. Ketika saya di sana (di ISS) 2007, saya tidak lakukan aktiviti itu.

“Saya ada misi saya. Antaranya misi berkaitan kajian sel kanser. Sebab saya doktor berkaitan ortopedik, tulang, saya lebih berminat dengan sel kanser,” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi dialog Wacana Ilmu Kembara Ke Angkasa di Pameran Penyelidikan, Pertahanan, Keselamatan dan Kemampanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur hari ini.

Dr Sheikh Muszaphar berkata, misi itu juga bergantung kepada hala tuju negara dan kajian yang boleh dilakukan kerana terdapat banyak bidang kajian (berkaitan bidang Sains) di luar sana boleh diketengahkan.

Katanya, program angkasawan kedua itu masih dalam status ‘on hold’ dan negara mempunyai banyak masa bagi membincangkan kajian yang ingin dilakukan selain membuka permohonan bagi memilih angkasawan seterusnya bagi misi 2030.

“Banyak lagi masa dan kemungkinan pemilihan angkasawan negara akan dibuka (kepada umum) dalam tempoh dua ke tiga tahun menjelang 2030 dan mungkin kita boleh menghantar angkasawan wanita pertama negara,” katanya.

Beliau berlepas ke ISS dengan kapal angkasa Soyuz bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 10 Oktober 2007.

Dr Sheikh Muszaphar, 46, doktor bedah ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada di ISS selama 10 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 8:28 PM