Abdul Hamid (kiri) bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim melancarkan buku 150 Tips Menangani Jenayah. BERNAMA
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


DESAS-desus kekosongan jawatan Ketua Polis Negara (KPN) yang baru bakal diisi Pemangku Timbalan KPN, Datuk Seri Abdul Hamid Bador terus bertiup bertiup kencang susulan tamatnya kontrak perkhidmatan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun Jumaat minggu depan.

Desas-desus beliau dilantik ke jawatan itu timbul berikutan Abdul Hamid antara paling senior berpangkat Komisioner Polis (CP) dalam pasukan Polis Diraja Malaysia.

Beliau dikatakan sebagai calon paling layak berikutan mempunyai baki perkhidmatan dalam pasukan keselamatan itu.

Menjawab desas-desus itu, Abdul Hamid bagaimanapun berkata, sehingga kini tidak menerima sebarang surat pelantikan bagi mengisi jawatan itu.

“Buat masa ini memang saya tidak terima sebarang surat bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Polis Negara susulan tamatnya kontrak perkhidmatan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Saya masih lagi memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dan terpulang kepada kerajaan serta Suruhanjaya Pasukan Polis untuk menetapkan siapa pengganti KPN,” katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Hentikan Keganasan Terhadap Wanita Dan Kanak-Kanak Serta Pelancaran Buku Pencegahan Jenayah di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Sebelum ini, nama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani juga disebut antara calon bagi mengisi jawatan KPN yang baru.

Namun desas-desus paling kuat menyatakan jawatan nombor satu itu berkemungkinan dipegang Abdul Hamid manakala Acryl Sani pula dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan Timbalan KPN.

Februari lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa jawatan KPN dan Timbalan KPN yang baru akan diputuskan dalam mesyuarat antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh terdekat.

Pada 4 September 2017, Mohamad Fuzi, yang sebelum itu memegang jawatan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dilantik mengisi jawatan nombor satu PDRM bagi menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara secara rasmi ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 6:49 PM