PEKERJA cuci kereta (tengah) yang ditahan bersama dadah jenis heroin seberat 456.5 gram (gambar kanan) di sebuah rumah di Sungai Tukang Estate, Sungai Petani. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


TINDAKAN seorang pencuci kereta mencari duit lebih dengan menjual dadah heroin mengundang padah apabila dia ditahan di sebuah rumah di Sungai Tukang Estate, Sungai Petani, bersama dadah seberat 456.5 gram awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang menerima maklumat berhubung kegiatan lelaki berusia 24 tahun itu bertindak membuat serbuan ke rumah suspek pada 2.15 pagi.

Menurutnya, ketika serbuan pintu rumah dalam keadaan berkunci sebelum polis memperkenalkan diri dan meminta suspek membuka pintu.

“Sebaik suspek keluar, polis kemudian membuat pemeriksaan di dalam rumah namun tidak menemui apa-apa.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di belakang sebelah kanan rumah menemui satu beg plastik hitam di atas tanah dan sebaik diperiksa mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi heroin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati dia negatif dadah dan wang tunai sebanyak RM2,000 turut dirampas.

“Suspek direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 4:17 PM