WARIS kepada Che Pah@Latifah Man, 76, yang meninggal di Hospital Sultanah Bahiyah sejak dua minggu lalu dicari kerana mayatnya masih belum dituntut keluarga. FOTO Ihsan Forensik HSB
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


JABATAN Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, sedang mengesan waris keluarga mayat wanita yang belum dituntut.

Jurucakap forensik berkata, mayat Che Pah @ Latifah Man, 76, yang meninggal dunia di HSB masih belum dituntut sehingga kini.

Katanya, berdasarkan alamat terakhir pada Mykadnya, arwah pernah tinggal di alamat 112K Jalan Kampung Perak, dekat Alor Setar.

“Sebelum meninggal, mangsa tinggal di rumah pertubuhan di Community Friend di Lorong Tiong, Telok Wanjah, dekat sini.

“Arwah dimasukkan ke wad HSB dan meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu akibat jangkitan kuman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jurucakap itu berkata, sebelum ini pihak wad HSB sudah menghubungi pihak pusat jagaan itu, namun mereka memberitahu tidak mengenali waris arwah disebabkan dia sendiri yang datang untuk menetap di situ.

Beliau berkata, tujuan pihaknya mengesan waris atau keluarga arwah adalah untuk memudahkan urusan tuntutan dan pengebumian dilakukan.

“Pihak polis juga cuba mengesan waris di alamat itu namun gagal.

“Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan ahli keluarga atau waris arwah boleh menghubungi talian 04-7407316 untuk sebarang maklumat lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 9:05 AM