Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


KABINET semalam meluluskan penubuhan satu pasukan petugas khas membabitkan wakil empat kementerian dan tujuh agensi bagi menangani isu nelayan dari Vietnam yang menceroboh perairan negara.

Pasukan petugas khas itu diketuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan disertai wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar.

Sementara itu, pasukan keselamatan dan penguat kuasa terbabit pula adalah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Perikanan.

Turut terbabit adalah wakil Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu pencerobohan nelayan asing dari Vietnam bukan perkara baharu, malah semakin meningkat setiap tahun.

Beliau berkata, pencerobohan itu menyebabkan negara kehilangan hasil laut yang besar mencecah sehingga RM6 bilion setahun.

“Kabinet berpendapat isu ini perlu ditangani segera kerana ia turut memberi kesan besar kepada nelayan tempatan.

“Penubuhan pasukan itu membolehkan operasi penguatkuasaan dilakukan secara bersepadu dan berskala besar.

“Pasukan sama juga akan mengatur operasi khas dalam tempoh segera bagi menangani isu pencerobohan itu,” katanya pada sidang media khas di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 6:01 AM
MUHYIDDIN bersama Salahuddin (kiri) dan Liew (dua dari kanan) pada sidang media mengenai isu menangani nelayan asing yang menceroboh perairan negara.