AFIFAHTUL Munawarah melipat kain di rumah pelanggannya. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


“SAYA tidak pernah malu melakukan kerja ini, meskipun sering dipersenda,” kata ibu tunggal, Afifahtul Munawarah Kassim, 32, mengenai khidmat melipat kain disediakannya.

Ibu kepada empat anak berusia tujuh hingga 14 tahun itu berkata, khidmat melipat kain yang dilakukannya itu lazimnya menerima permintaan daripada golongan wanita bekerjaya.

Katanya, kesibukan bekerja menjadi punca golongan itu, terutama di bandar raya Johor Bahru mendapatkan khidmat tukang lipat baju sepertinya.

“Kebanyakan pelanggan saya, terutama wanita menghadapi masalah untuk melipat pakaian kerana kesuntukan masa hingga ia terperuk di dalam bakul dalam tempoh berbulan-bulan di rumah mereka.

“Ia termasuk wanita profesional dan bekerjaya, selain dilema itu turut dihadapi suri rumah kerana sibuk menguruskan keluarga hingga tertekan apabila melihat timbunan kain yang menggunung,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.


ANTARA pakaian yang dihantar pelanggan kepada Afifahtul Munawarah. FOTO Mary Victoria Dass

Afifahtul Munawarah berkata, dia bersyukur berpeluang melakukan kerja itu kerana dapat menambah pendapatan keluarga, meskipun terpaksa berdepan timbunan baju yang banyak.

“Mereka (pelanggan) bukan malas melipat kain tetapi kesuntukan masa.

“Seorang pelanggan saya yang juga suri rumah mendapatkan perkhidmatan lipat kain sebulan sekali, biasanya memang ia (pakaian) berbukit hingga memakan masa sekurang-kurang enam jam untuk melipat semua baju dan kain mereka.

“Suri rumah berkenaan tidak dapat lipat kain kerana terlalu sibuk, termasuk mengurus orang tuanya yang sakit, menjaga makan minum suami dan anak,” katanya.

Afifahtul Munawarah berkata, dia menawarkan khidmat itu sejak setahun lalu dan ia ternyata membantu golongan yang memerlukan khidmatnya itu berehat bersama keluarga pada hujung minggu.

Menurutnya, kini dia memiliki kira-kira 20 pelanggan tetap di sekitar Bandar Seri Alam, Plentong, Ulu Tiram, Bandar Dato’ Onn, Larkin, Bandar Baru Uda, Kempas dan Tampoi.

Katanya, sebelum ini dia sudah melakukan pelbagai perniagaan, tetapi semuanya tidak bertahan lama.

“Bermula daripada situlah, saya mengambil inisiatif untuk menawarkan perkhidmatan berkenaan.

“Saya mendapati kebanyakan wanita berkerjaya menghadapi kekangan masa untuk melipat pakaian, tetapi mempunyai masa untuk mencucinya.

“Dengan modal sifar, saya memulakan perkhidmatan berkenaan dan bergerak menggunakan motosikal,” katanya.

Katanya, pekerjaan itu dilihat lebih fleksibel dan membolehkannya mengatur masa untuk menghantar dan membawa membawa pulang semua anaknya dari sekolah.

“Dengan berkat kesungguhan saya dan semangat tidak berputus-asa, kini saya mampu menjana pendapatan bulanan kira-kira RM900 sebulan,” katanya.

Afifahtul Munawarah berkata, pendapatan berkenaan membolehkannya menampung keperluan harian anaknya, selain bersyukur kerana menerima bantuan kanak-kanak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM400 sebulan.

“Saya tidak belajar kemahiran ini, namun hanya berlatih sendiri termasuk di rumah sendiri.

“Saya mengambil masa kurang 10 saat bagi melipat setiap helai baju dan apa yang penting saya memastikan lipatannya kemas seperti baju baru baru dibeli dari kedai.

“Bagi setiap dua jam, saya mengenakan upah RM50 dan RM100 bagi 4 jam. Biasanya saya menguar-uarkan perkhidmatan berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook (FB) menerusi page Servis Lipat Kain Mak Ifah,” katanya.

Afifahtul Munawarah berkata, dia juga bersedia memberi nasihat kepada wanita yang ingin menjadikan perkhidmatan lipat kain sebagai kerjaya berdasarkan pengalamannya.

“Ada pihak yang mempersenda kerjaya saya ini, namun saya tidak pernah berasa malu bagi melakukannya kerana selain mendatangkan hasil saya juga membantu golongan wanita, terutama yang sudah berumah tangga.

“Harapan saya adalah untuk memperluas perkhidmatan ini pada masa depan bagi menampung permintaan ramai termasuk dengan menubuhkan syarikat berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 1:24 AM