FOTO Hiasan
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


SEORANG wanita didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini terhadap pertuduhan menjalankan kegiatan pelacuran, Disember lalu.

Tertuduh, Suzliyanis Mohd Masbah, 41, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mencari langganan atau mendesak bagi maksud persundalan atau mana-mana maksud perbuatan lucah pada mana-mana tempat di sebuah rumah di Jalan Post Office Lama di Kota Bahru, 8.15 malam, pada 4 Disember lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama satu tahun, atau denda, atau dengan kedua-dua.

Fakta kes, bertindak atas maklumat kegiatan pelacuran, polis dari Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Post Office Lama.

Polis masuk ke dalam rumah dan mendapati tertuduh bersama seorang pelanggan sebelum tertuduh ditangkap dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ho Zee Xing dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Farhan Abdul Halim.

Mahkamah mengarahkan tertuduh membayar denda RM3,000 dan jika gagal akan dipenjara selama enam bulan.

Difahamkan, tertuduh membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 12:44 AM