PENYEBARAN rakaman CCTV prosiding perbicaraan Najib.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah memanggil bekas pegawai khas bekas Perdana Menteri, Isham Jalil berhubung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika prosiding perbicaraan yang dimuat naik dalam Facebook pada 19 April lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, keterangan Isham diambil hari ini susulan siasatan dibuat terhadap satu laporan polis diterima Balai Polis Batu 9 Cheras, Sabtu lalu.

Katanya, polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuknya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.

“Awal hari ini dia (Isham) memang sudah dipanggil untuk beri keterangan.

“Jadi, selepas ini kita akan serah kertas siasatan kepada TPR untuk rujukan serta tindakan seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Aman hari ini.

Ahad lalu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 203A kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) berhubung penularan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika prosiding mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan dibuat susulan satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Batu 9 Cheras.

Jumaat lalu, tular di laman sosial Facebook video berdurasi dua minit 12 saat itu bertajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ memaparkan rakaman peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang menyoal saksi terbabit dalam kes itu.

Difahamkan, rakaman itu dimuat naik menerusi akaun bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil tengah hari semalam dan sehingga kini sudah ditonton lebih 300,839, dikongsi lebih 4,327 akaun Facebook dan mendapat lebih 2,300 komen.

Menerusi tajuk dimuat naik Isham, adalah dipercayai bahawa rakaman CCTV itu diambil ketika prosiding hari kelima Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Polis buka kertas siasatan

Polis buat laporan

Rakaman CCTV bicara Najib tular

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 12:31 AM