SERI ISKANDAR 24 APRIL 2019. Seorang lelak,Lai Kim Choy, 47, maut selepas kren yang dipandunya tumbang dan menghempapnya di tapak projek perumahan berhampiran Taman Maju. NSTP/IHSAN BOMBA
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


LELAKI maut dihempap kren dalam kejadian di tapak projek perumahan berhampiran Taman Maju, Jalan Ipoh-Lumut, di Seri Iskandar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, kren yang dipandu Lai Kim Choy, 47, terbalik sebelum dia cuba melompat keluar dari tempat duduk pemandu untuk menyelamatkan diri, namun gagal lalu dihempap kren berkenaan.

Mangsa meninggal dunia akibat parah di beberapa anggota badannya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Roslan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 12.25 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, anggota mendapati sebahagian badan mangsa di bawah jentera berat berkenaan.

“Anggota kemudiannya menjalankan tugas menyelamat dengan cuba mengalihkan mangsa, namun gagal disebabkan jentera berkenaan berat.

“Pemaju kemudiannya memberi bantuan dengan menyediakan sebuah kren lain untuk mengangkat kren yang tumbang itu bagi membolehkan anggota bomba membawa mangsa keluar,” katanya ketika dihubungi.

Roslan berkata, bomba kemudian berjaya mengeluarkannya sebelum pasukan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan 1.04 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 11:31 PM