RAKAMAN gambar yang tular di media sosial. FOTO Facebook
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menafikan rakaman gambar tular yang mendakwa pihaknya membuang tesis penuntut yang dibuang universiti.

Sebaliknya, ia adalah laporan tahun akhir dan laporan latihan industri kejuruteraan (EIT) yang sudah rosak dan berkulat.

UIAM dalam kenyataannya berkata, Kulliyyah Kejuruteraan universiti itu kini dalam proses untuk mewujudkan ‘Student Lounge’ di Pusat Sumber Kulliyyah.

Bagaimanapun, katanya, ketika gotong-royong dijalankan UIAM, sebahagian buku laporan sudah rosak dan berkulat yang mana ia boleh menyebabkan alahan kepada kulit melalui peredaran udara di bilik berkenaan.

“Oleh itu, sebahagian buku laporan itu perlu di hantar ke pusat kitar semula untuk dilupuskan dan ia adalah bahan yang sudah berusia lima hingga ke 10 tahun simpanan ke belakang.

“Semua buku laporan dilupuskan itu hanya salinan sahaja, manakala yang asal masih lagi tersimpan di jabatan dan kebanyakannya kini dalam proses simpanan pendigitalan,” katanya.

Berikutan dengan penularan gambar itu, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM sudah mendapatkan maklumat yang selanjutnya dan berharap ia dapat memperbetulkan salah faham semua pihak.

Semalam, tular beberapa gambar di laman sosial menunjukkan longgokan bahan di dalam lori yang didakwa tesis penuntut yang dibuang universiti.

Perkongsian gambar itu mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang meninggalkan komen di laman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 9:01 PM