PENGARAH Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abd Ghani
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


PEGAWAI dan enam anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuantan, semalam, untuk membantu siasatan selepas disyaki bersubahat menerima suapan RM6,500.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Seri Simi Abd Ghani berkata, penahanan suspek terdiri daripada Inspektor, Koperal dan Lans Koperal itu dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

“Suspek lelaki berusia antara 28 hingga 53 tahun ditahan di pejabat SPRM Pahang antara 10 malam hingga 10.45 malam selepas hadir memberi keterangan.

“Kita percaya suspek terbabit bersubahat menerima wang suapan RM6,500 daripada seorang lelaki sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Difahamkan, SPRM Pahang sedang mengesan beberapa lagi individu dipercayai terbabit dengan tujuh suspek yang ditahan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap pegawai dan anggotanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh ke atas siasatan dijalankan SPRM.

“Saya sahkan tangkapan dilakukan SPRM. Saya tidak boleh ulas panjang. Kita akan beri kerjasama terhadap siasatan dilakukan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 8:38 PM