NIK Ishazalwani Ismail, 35 mendukung anak bongsu dari tiga beradik, Nur Fikriyah Elias berusia sembilan bulan yang mengalami lebihan cecair dalam kepala atau Hydrocephalus ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Melaka. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


KETIKA bayi seusianya membesar dengan sihat dan sempurna, namun bayi perempuan berusia sembilan bulan terpaksa menanggung derita kerana mengalami lebihan cecair dalam kepala atau hydrocephalus.

Menurut ibu bayi berkenaan, Nik Ishazalwani Ismail, 35, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik, Nur Fikriyah Elias disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia dua bulan sekali gus menjejaskan penglihatan kedua-dua matanya.

Katanya, anaknya itu dilahirkan pramatang iaitu ketika kandungan berusia tujuh bulan dan selama empat bulan dimasukkan ke dalam wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

“Ujian Allah SWT untuk kami sekeluarga semakin berat apabila Nur Fikriyah disahkan menghidap lebihan air di dalam kepala ketika masih menerima rawatan di NICU selepas doktor melihat saiz kepalanya pada waktu itu semakin membesar.

“Disebabkan penyakit itu, anak saya sudah menjalani dua pembedahan membuang lebihan air di kepala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Pembedahan pertama dilakukan Oktober tahun lalu iaitu dengan menebuk bahagian kanan dan kiri kepala serta Januari tahun ini pembedahan bagi memasukkan wayar dalam kepala untuk membuang lebihan cecair. Alhamdulillah, selepas pembedahan kali kedua, lebihan cecair dalam kepala anak semakin berkurangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Melaka di Machang.

Nik Ishazalwani berkata, bagi memantau perkembangan kesihatan Nur Fikriyah, anaknya itu perlu dibawa berjumpa pakar kanak-kanak, pakar telinga dan mata di HRPZ II dan pakar neuro di HUSM setiap sebulan atau tiga bulan sekali.

Katanya, berat badan anaknya tidak seperti bayi seusianya apabila hanya 4.1 kilogram (kg).

“Setiap bulan saya perlu membelanjakan kira-kira RM500 untuk membeli susu dan lampin pakai buang bagi keperluan Nur Fikriyah.

“Dengan pendapatan suami (Elias Zakaria, 41) sebanyak RM1,000 sebulan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah menyebabkan saya perlu berjimat cermat,” katanya.

Menurutnya, selain perbelanjaan Nur Fikriyah, mereka juga perlu menampung perbelanjaan dua lagi anak iaitu Nur Fakhira, 8, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkal Gong dan Nur Faqihah yang berusia empat tahun.

Katanya, bagi meringankan beban, hanya saudara terdekat sahaja yang menghulurkan bantuan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank, 162106809571, atas nama, Nik Ishazalwani Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 11:31 AM