TEKONG dan awak-awak warga Vietnam didenda di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu, semalam.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


DUA tekong Vietnam dihukum denda RM300,000 manakala lapan awak-awak masing-masing didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana menangkap ikan di perairan negara.

Tekong, Pham Van Hung, 47, dan Hung, 34, turut berdepan hukuman penjara dua tahun dan lapan awak-awak berusia 21 hingga 49 tahun pula boleh dipenjara setahun jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas semua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) yang dibaca bersama Seksyen 52 (1) (a) (i) dan Seksyen 52 (1)(a)(ii) akta sama.

Mahkamah turut memerintahkan vesel (kapal), peralatan komunikasi dan navigasi berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut yang dianggarkan bernilai RM500,000 bagi setiap tangkapan, dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, Pham bersama tiga awak-awaknya berusia 21 hingga 34 tahun didakwa bersama-sama cuba menangkap ikan tanpa kebenaran di bawah mana-mana perjanjian perikanan antarabangsa dan tanpa permit sah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di atas vesel penangkapan ikan asing pada jarak 78.5 batu nautika dari Tanjung Mat Amin, Kuala Kemaman, Kemaman, jam 8.50 pagi, 2 April lalu.

Sementara itu, Hung bersama lima awak-awak berusia antara 22 hingga 49 tahun pula didakwa melakukan kesalahan sama di atas vesel penangkapan ikan asing pada jarak 78.5 batu nautika dari Tanjung Mat Amin, Kuala Kemaman, Kemaman, jam 10.20 pagi, 2 April lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala semua tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:30 AM