Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) pemancing yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot pada jarak 11 batu nautika dari Kuala Kemaman, Chukai kelmarin diperluaskan sehingga ke Tanjung Gelam, Kuantan.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, operasi SAR Muhammad Rashidi Basiran, 32, yang memasuki hari ketiga diperluaskan sejauh 44 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

Menurutnya, 60 orang terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin dan Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman terbabit dalam operasi SAR.

“Pasukan SAR menggerakkan operasi pencarian ke arah selatan (Tanjung Gelam) termasuk ke Teluk Cempedak berikutan arus bergerak ke arah itu.

“Selain itu, kita turut berdepan kesukaran menjalankan SAR kerana keadaan ombak dan arus kuat.

“Kita turut meminta bantuan Pelabuhan Kemaman untuk menyalurkan maklumat jika ada antara kapal yang menggunakan pelabuhan berkenaan menemui objek menyerupai manusia,” katanya ditemui di jeti APMM Kemaman hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang kelmarin, mangsa dikatakan terjatuh dari bot pada jarak 11 batu nautika dari Kuala Kemaman ketika memancing bersama lapan rakannya.

Berita berkaitan

Pemancing jatuh bot dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 10:39 PM