JERLUN 22 APRIL 2019.Keadaan rumah Rohani Othman,40, yang ditampal atap zink di bahagian dinding pintu.STR/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


“RAMAI menghubungi saya untuk membantu, semakan baki akaun juga ada tambahan duit hasil sumbangan orang ramai,” kata Rohani Othman, 40.

Rohani juga berterima kasih kepada orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan itu selepas kisah hidupnya dipaparkan portal Harian Metro.

Semalam, Harian Metro melaporkan anak bongsu Rohani berusia dua tahun sudah seminggu minum teh bagi menggantikan susu akibat kemiskinan.

Keluarga Rohani yang tinggal di Kampung Permatang Mahang, Jerlun terpaksa melalui detik sukar itu sejak dua bulan lalu selepas suaminya cedera pada sendi tangan kiri akibat jatuh pokok.

Ketika dihubungi wartawan Harian Metro hari ini, ibu kepada lima anak itu berkata, dia merancang menggunakan sumbangan itu untuk membeli peralatan memasang tingkap rumah.

Katanya, tingkap rumah adalah antara keperluan utama memandangkan Ramadan hampir tiba.

“Bahagian tingkap hanya ditampal dengan zink dan ada yang terbuka begitu sahaja menyebabkan tempias hujan masuk ke dalam rumah.

“Walaupun sumbangan itu tidak mencukupi untuk baik pulih rumah dan membuat bilik, tapi saya dan suami (Syukri Mustafa, 41) tetap akan manfaatkan sumbangan itu sebaiknya,” katanya.

Rohani yang kini sarat mengandung tujuh bulan berkata, dia juga berharap terdapat jabatan kerajaan dapat membantu mereka membaik pulih rumah dan membina tandas.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai dan kepada Harian Metro yang menyiarkan kisah mereka sekeluarga.

Sementara itu, difahamkan Pegawai Khas Ahli Parlimen Jerlun, Datuk A Aziz Mohamod turut melawat ke rumah Rohani sebelum ini dan bersedia untuk memberi bantuan kemudahan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 9:38 PM