Pasukan 'Oils Spill Response’ menjalankan operasi semburan kimia di perairan Tanjung Balau di atas bot Al Tair. FOTO Ihsan Jabatan Laut Johor
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


JABATAN Laut Malaysia Wilayah Selatan (Johor) hari ini menemui tompokan minyak antara 300 meter hingga 500 meter secara berselerak di kedudukan 1.1 batu nautika dari Pantai Desaru atau 1.6 batu nautika dari Tanjung Penawar, Kota Tinggi.

Penemuan itu ditemui pada operasi hari keenam pemantauan dan pembersihan tumpahan minyak Marine Fuel Oil (MFO) di Tanjung Balau.

Pegawai pemerintah operasi, Roslee Ibrahim berkata, operasi pemantauan dilakukan 12 kru Bot Al Tair dan menemui tompokan berkenaan pada 1.50 tengah hari tadi.

“Kita mengesan tompokan minyak antara 300 hingga 500 meter dengan lebar kira-kira 50 meter dalam keadaan berselerak.

“Berikutan itu, kita membersihkan tompokan minyak berkenaan dengan kaedah semburan kimia atau spray dispersant,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi hari ini yang disambung bermula 8 pagi tadi membabitkan Bot Al Tair bersama 12 kru dan membuat pemantauan di sekitar kawasan Tanjung Balau, Teluk Penawar dan Teluk Punggai.

Katanya, keseluruhan kawasan yang dipantau membabitkan 23 batu nautika dengan kaedah penglihatan dan menggunakan dron.

“Usaha pemantauan masih dijalankan sehingga operasi ditangguhkan 6 petang ini,” katanya.

Semalam, operasi pemantauan dan pembersihan tumpahan minyak diambil alih Bot Al Tair menggantikan Bot Al Nilam yang memerlukan penambahan stok peralatan tumpahan minyak.

Berita berkaitan

Dalang tumpahan minyak dikenal pasti

Sila laksana hukuman berat - Sultan Johor

[UPDATE] 40 guni sisa minyak dikumpulkan

Pencemaran minyak terburuk!

Sengaja buang minyak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 4:27 PM