Khairul Azran Hussin
am@hmetro.com.my


KEGIATAN penyeludupan masuk sisa plastik tercemar ke negara ini yang didalangi pihak tertentu masih berlaku walaupun kerajaan sudah mengharamkan kemasukan sisa buangan itu sejak tahun lalu.

Kegiatan itu terbongkar susulan penemuan 24 kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, mengandungi sisa plastik tercemar yang tidak boleh dikitar semula.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, penemuan itu menunjukkan wujud salah guna kuasa membabitkan pihak tertentu di pelabuhan negara ini.

“Semua 24 kontena ini diisytiharkan mengandungi sisa pepejal bersih, namun pemeriksaan lanjut mendapati ia mengandungi bahan larangan. Selain itu, kita turut menerima laporan kontena mengandungi sisa plastik tercemar di Pelabuhan Utara dan pelabuhan di Pulau Pinang.

“Dalam tempoh sebulan ini, pihak berkuasa akan melakukan operasi di pelabuhan seluruh negara. Kita serius dalam isu ini. Kita sudah kenal pasti syarikat pengimportan ini.

“Kita juga ambil serius bagaimana kontena ini dengan mudah masuk ke pelabuhan negara. Jika wujud salah laku, kita akan ambil tindakan kepada semua pihak terbabit,” katanya ditemui selepas melakukan tinjauan di Pelabuhan Barat, hari ini.

Yeo berkata, siasatan awal mendapati semua sisa plastik tercemar akan dihantar ke kilang kitar semula yang beroperasi secara haram di seluruh negara.

“Plastik ini ialah jenis yang kotor dan tidak berkualiti selain sukar dilupuskan. Jika dibakar ia akan mengeluarkan asap hitam,” katanya.


YEO menyertai operasi penguatkuasaan sisa plastik yang dibawa masuk secara haram di Pelabuhan Barat. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Ditanya sama ada kerajaan akan meminta negara asal mengambil semula sisa plastik yang ditahan di pelabuhan negara, beliau berkata kerajaan akan mengguna pakai Konvensyen Basel berhubung perkara itu.

“Malaysia menandatangani Konvensyen Basel mengenai kawalan merentasi sempadan buangan toksik dan berbahaya serta pelupusannya. Jadi, kita boleh memanggil negara asal untuk mengambil semula sisa buangan ini serta menanggung semua kos.

“Contohnya kontena dikesan hari ini datang dari Sepanyol dan kita akan gunakan Konvenseyen Basel. Negara seperti United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat dan Jerman turut dikesan menghantar sisa buangan ke Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 148 kilang kitar semula sisa plastik haram dan tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang beroperasi di seluruh negara sudah ditutup sejak Januari hingga bulan ini.

Pada Oktober tahun lalu, kerajaan menghentikan sepenuhnya pengeluaran lesen import (AP) sampah plastik.

Media sebelum ini melaporkan gesaan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik supaya kerajaan mengharamkan sepenuhnya import sampah plastik untuk dikitar semula di negara ini bagi mengelak kesan buruk kepada kesihatan awam dan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 2:22 PM