TERTUDUH dibawa anggota polis selepas diperintahkan membela diri. FOTO Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


MAHKAMAH Tinggi Melaka, hari ini, memerintahkan penganggur membela diri atas dakwaan membunuh dan mencederakan keluarga angkatnya tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim, Datuk Ahmad Nasfy Yasin selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh, Luqman Hadi Mustapa, 31.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, tertuduh didakwa membunuh Hassan A Wahab, 70, Mariah Baharin, 61, dan Muhammad Taufeq Hassan, 22.

Manakala, bagi kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa menetak tubuh badan Noor Haslinda Diyana Hassan, 26, dan Nur Aqedah Aeina Hassan, 24, menggunakan parang panjang dan perbuatan itu boleh menyebabkan kematian yang boleh menjadi kesalahan membunuh.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Sidang Said, Bertam Malim, Melaka, antara 5.50 pagi hingga 6.15 pagi pada 25 Ogos 2016.

Ahmad Nasfy dalam penghakimannya berkata, berdasarkan laporan psikiatri pada masa kejadian, tertuduh tidak siuman.

Mahkamah akan mendengar keterangan pembelaan tertuduh pada 17 dan 18 Julai ini selain pakar psikiatrik juga akan dipanggil.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Badius Zaman Ahmad, Mazuin Hashim dan Nabilalif Mohd Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Fahmy Sulaiman.

Seramai 25 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan bermula 22 Oktober 2016.

Harian Metro pada 26 Ogos 2016 melaporkan, suami isteri dan anak lelaki mereka mati dibunuh akibat dikelar dengan senjata tajam oleh seorang lelaki dipercayai anak angkat mangsa yang tinggal bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 2:18 PM