PENGARAH Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, Rashima Baharuddin ketika melawat rumah nelayan yang menerima bantuan baik pulih di Rompin. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang menerima peruntukan berjumlah RM666,000 bagi program baik pulih rumah nelayan di tiga daerah di Pahang.

Pengarahnya, Rashima Baharuddin berkata, peruntukan itu adalah bagi melakukan kerja membaiki 66 rumah nelayan yang rosak teruk berikutan kejadian bencana alam sepanjang tahun lalu.

Katanya, setiap rumah terbabit yang layak akan menerima bantuan antara RM10,000 hingga RM13,000 dan ia bergantung kepada tahap kerosakan dialami.

“Bagi program ini, nelayan di Nenasi, Pekan adalah penerima teramai bantuan iaitu 43 orang diikuti daerah Kuantan (13 orang) dan Rompin 10 orang.

“Mereka adalah nelayan pantai yang bergantung sepenuhnya dengan hasil laut. Semua penerima adalah ahli Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) daerah dan mempunyai kad nelayan berdaftar dengan Jabatan Perikanan Pahang serta belum menerima bantuan kerajaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Rumah Baik Pulih Nelayan di Nenasi, dekat Pekan, semalam.

Rashima berkata, kini sebanyak 47 rumah yang di baik pulih sudah siap sepenuh dan hanya 19 dalam proses membaikinya secara berperingkat.

Katanya, tahun ini pihaknya turut menerima peruntukan sebanyak RM40,000 bagi membina satu unit rumah nelayan yang baru kepada penerima yang sebelum ini tidak pernah memiliki kediaman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 9:35 AM