PEKERJA ladang di Kampung Padang Garam mengutip tembikai.
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menetapkan harga lantai tembikai di ladang 80 sen sekilogram.

Penetapan harga lantai itu bagi mengelak berlakunya penganiayaan orang tengah terhadap pengusaha tanaman tembikai di negeri ini.

Timbalan Pengarah Fama Terengganu, Mohd Azrul Abd Aziz berkata, kebanyakan orang tengah dilantik pemborong hanya menawarkan harga 30 sen hingga 50 sen sekilogram tembikai di ladang.

Katanya, harga yang terlalu rendah itu menyebabkan penanam sukar menjana pendapatan dan ia meresahkan mereka.

“Bagi mengatasi masalah ini, Fama dengan kerjasama Jabatan Pertanian negeri bersetuju membeli tembikai secara terus dan menetapkan harga lantai 80 sen sekilogram.


MOHD Zulfaizah Manah menunjukkan labu manis selain tembikai yang ditanam.

“Setakat ini, 19 pengusaha tanaman tembikai di seluruh negeri mampu mengeluarkan 466 tan metrik dengan nilaian hasil pengeluaran melebihi RM370,000.

“Mereka menandatangani perjanjian persefahaman dan bersetuju menjual tembikai secara terus kepada Fama,” katanya yang ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak di Kampung Padang Garam, Merchang di sini, semalam.


Hadir sama, Penolong Pegawai Pertanian negeri, Zikri Mamat.

Mohd Azrul berkata, pengeluaran tembikai di Terengganu meningkat 4,000 tan metrik, berbanding tahun lalu sekitar 2,000 tan metrik.

Katanya, peningkatan itu tidak menyebabkan lambakan dan pihaknya tidak mempunyai masalah untuk memasarkannya kerana mendapat permintaan tinggi daripada pasar raya dan pemborong termasuk dari Singapura.

Selain itu, katanya, pengusaha buah-buahan tempatan yang mendapat persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dibantu menerusi bayaran insentif sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 7:30 AM