MOHD Leow (dua dari kiri) bersama Setiausaha MACMA, Nur Caren Chung Yock Lan (empat dari kanan) melawat Rosli (tiga dari kiri) yang tinggal bersama Jamaliah (dua dari kanan) selepas dipindahkan ke Paya Luboh, Tangga Batu. FOTO Jamah Nasri.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


SELEPAS hampir dua tahun menginap di pondok dalam kawasan tokong di Masjid Tanah, Alor Gajah, lelaki mualaf dan isterinya akhirnya dipindahkan ke rumah anak bongsu mereka di Paya Luboh, Tangga Batu.

Rosli Abdullah, 72, yang memeluk Islam sejak 1980, hidup serba kesempitan bersama isteri, Faridah Mat Ali, 63, dengan menumpang tinggal di pondok di tokong itu selepas kehilangan kerja dan hilang punca pendapatan, kira-kira dua tahun lalu.

Menurutnya, dia menikahi Faridah kira-kira 39 tahun lalu, selepas memeluk Islam dan menetap di rumah keluarga isterinya di Lendu, sebelum menyewa di Masjid Tanah selepas mendapat pekerjaan sebagai pembantu kedai makan di situ.

“Dulu isteri berkerja kilang, tetapi sekarang dia tidak lagi berkerja, tempat saya berkerja pula sudah tutup, jadi saya tiada pendapatan dan tidak mampu membayar sewa RM280 sebulan.

“Isteri menerima elaun makan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM230 sebulan, itu sahaja wang kami ada dan memang tidak mampu membayar sewa,” kata Rosli yang mempunyai tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Menurutnya, dia sudah lama tidak berhubung dengan dua anak lelaki dan hanya berhubung dengan anak perempuan bongsunya.

Katanya, dia mencari rumah untuk disewa, namun tidak mampu dan pada masa sama, dia dan isteri tidak mahu membebankan anak perempuannya, Jamaliah Rosli, 35, yang hidup susah.

“Anak bongsu saya dan suaminya juga susah, dulu mereka menyewa dan ada tanggungan empat anak. Kami tidak mahu susahkan mereka lalu saya cari tempat tinggal lain dan ketika itu, kebetulan jumpa tokong dan saya beritahu kenalan yang saya kenal, nak menumpang di situ.

“Kawan itu benarkan saya tinggal di situ secara percuma dan meminta saya jagakan tokong daripada diceroboh, tiada gaji diberi tapi saya tinggal di pondok itu percuma, tanpa perlu membayar bil letrik dan air.

“Cuma saya perlu sediakan sendiri keperluan makan minum, menggunakan wang bantuan JKM isteri,” kata Rosli.

Ditanya sama ada mahu berpindah ke rumah sewa lain, Rosli berkata, dia enggan berbuat demikian berikutan anak perempuannya sudah menjemput dia dan isteri tinggal bersama meskipun di rumah kecil, selain seronok dapat melihat cucu.

Sementara itu, Faridah berkata, dia dan suami menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, malah suaminya itu turut menghidap penyakit angin pasang, sekali gus membantutkan urusan hariannya untuk berkerja.

Kehadiran Rosli dan Faridah yang dipindahkan JKM pada 8 malam kelmarin dilihat cukup disenangi cucu mereka.

Sementara itu, Jamaliah berkata, dia hanya mengetahui bapa dan ibunya tinggal dalam kawasan tokong lebih setahun lalu, namun ketika itu tidak mampu membawa merkea keluar dari situ berikutan kesempitan hidup.

“Sekarang suami sudah bina sendiri rumah di atas tanah ibunya, rumah ini kelihatan seperti rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) tapi dibina sendiri dengan sumbangan adik beradik suami.

“Apabila JKM hubungi saya berkaitan ayah dan emak saya, saya beritahu supaya kedua-duanya tinggal bersama kami,” kata Jamaliah.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Leow Abdullah berkata, pihak MAIM bersama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) cawangan Melaka sempat menziarah pasangan warga emas terbabit di tokong itu, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 1:20 AM