SALAHUDIN (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Norshahidatul Shazlin Mohd Zaid di Kuala Lumpur, malam ini. FOTO Salhani Ibrahim.
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


NELAYAN dan pesawah akan diberi perhatian oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam usaha mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, dua golongan terbabit mesti diberi perhatian memandangkan mereka masih jauh miskin.

Beliau berkata, agensi berkaitan iaitu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan mesti memberi fokus kepada golongan terbabit.

“Kita mesti bersama-sama dengan cepat untuk keluarkan golongan ini daripada B40,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) LKIM 2019 di Kuala Lumpur, malam ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian Dr Zunika Mohamed, Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil dan Ketua Pengarah LKIM Jamaludin Othman.

Pada majlis itu, seramai 99 warga kerja LKIM dari seluruh negara menerima APC.

Mereka membawa pulang Sijil APC dan Sijil Simpanan Premium dengan nilai RM1,000.

Dalam pada itu, Salahuddin menekankan kepentingan integriti dalam kalangan warga kerja MOA khususnya LKIM.

“Kita mesti menegakkan integriti, mempraktikkan pentadbiran yang baik,” katanya yang turut menjangkakan perubahan lebih baik dalam MOA jika nilai itu dipraktikkan.

Beliau turut mengingatkan warga LKIM soal tanggungjawab sebagai kakitangan kerajaan dan mengajak mereka untuk bekerja bersama-sama.

“Saya sebagai menteri saya tak boleh ‘stand alone’. Kita mahu kamu semua. Kebersamaan inilah yang akan menguatkan kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 11:35 PM