Fairuz Zaidan
fairuzaidan@nstp.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan mahu proses saringan lebih ketat dibuat terhadap pekerja warga asing yang memasuki negara ini bagi membendung penularan penyakit tibi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata berdasarkan rekod kementerian, sejumlah 3,243 atau 12.5 peratus daripada keseluruhan 25,837 kes penyakit tibi yang direkodkan Kementerian Kesihatan pada tahun lalu membabitkan pekerja warga asing.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian mahu pihak berkaitan seperti Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) untuk bersama-sama memainkan peranan bagi memperketatkan prosedur kemasukan pekerja warga asing terbabit.

“Walaupun jumlah peratusannya agak kecil, kementerian tetap memandang serius mengenai penularan penyakit tibi dalam kalangan pekerja warga asing.

“Semua pihak yang mengawal pintu masuk utama negara seperti Jabatan Imigresen, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri perlu memainkan peranan sama, tidak hanya mengharapkan peranan Kementerian Kesihatan semata-mata (saringan penyakit tibi),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Tibi dan Hari Kusta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rushidi Ramly.

Tema sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia Peringkat Kebangsaan tahun ini adalah ‘Inilah Masanya: Kesan Awal dan Pastikan Sembuh Tibi/ Kusta’.

Dr Dzulkefly berkata, langkah pencegahan dari peringkat awal sangat penting berikutan kos untuk rawatan penyakit tibi agak tinggi terutama membabitkan pesakit tibi kronik.

“Di peringkat awal, kos perubatan dianggarkan antara RM300 hingga RM500 bagi seorang pesakit. Namun, kos rawatan bagi seorang pesakit boleh mencecah antara RM8,000 hingga RM20,000 bagi tempoh enam bulan rawatan ditanggung kerajaan,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada 2017, terdapat 10 juta kes tibi di seluruh dunia dengan jumlah kematian sebanyak 1.6 juta.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Dzulkefly berkata, antara usaha dijalankan kementerian adalah meningkatkan pengesanan awal kes tibi melalui aktiviti saringan dan pemeriksaan kontak dan golongan berisiko tinggi seperti pesakit HIV, renal failure on dialysis, diabetes, warga emas, institusi penjara dan rehabilitasi.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan turut mengamalkan polisi suntikan imunisasi BCG kepada semua bayi baru lahir bagi mengurangkan komplikasi TB meningitis dan TB miliari kepada kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 10:25 PM
DR Dzulkefly (kanan) menggunakan microskop melihat kuman AFB (tibi) di dalam kahak ketika melawat pameran pada majlis perasmian sambutan Hari Tibi dan Hari Kusta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.