FOTO Hiasan
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


JABATAN Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mempergiat operasi membanteras individu tidak berpuasa daripada makan secara terbuka di restoran atau gerai makanan di seluruh negeri ini.

Ketua Penolong Pesuruhjaya JHEAT, Nik Zulhaiza Ismail berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lebih 30 restoran dan kedai makan dijadikan ‘port’ menjual makanan kepada individu culas berpuasa.

Katanya, kira-kira 100 pegawai dan anggota penguat kuasa ditugaskan memantau kegiatan di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi golongan itu.

“Kita juga akan memantau lokasi geng plastik hitam mendapatkan minuman dan makanan sepanjang bulan Ramadan yang dijangka awal bulan depan.

“Selain restoran dan kedai makan, kawasan tanah perkuburan bukan Islam juga turut dijadikan lokasi kaki ponteng puasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ketika mengulas tangkapan kaki ponteng puasa tahun lalu, Nik Zulhaiza mengesahkan ada beberapa tangkapan hasil serbuan dilakukan terutamanya membabitkan restoran dan kedai makan bukan Islam.

“JHEAT sudah mengenal pasti kawasan dan tempat yang kebiasaannya menjadi lokasi mereka berkumpul dan makan.

“Individu ditahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika didapati bersalah makan dan minum di khalayak ramai sepanjang Ramadan,” katanya.

Mengenai tindakan terhadap geng plastik hitam, Nik Zulhaiza berkata, pihaknya mengenal pasti kaedah tertentu walaupun pihaknya menghadapi kesukaran mengambil tindakan kerana individu membeli makanan tidak boleh disabitkan dengan kesalahan tidak berpuasa.

“Memang sukar menahan mereka tidak berpuasa kerana aduan individu membeli makanan tidak boleh disabitkan dengan kesalahan tidak berpuasa kecuali jika mereka makan di restoran atau di tempat terbuka termasuk di tepi pantai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 9:26 PM