RAKAMAN pergaduhan antara pasukan bola sepak yang tular di media sosial. (Gambar kecil) Salah seorang mangsa mengalami kecederaan. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


SERAMAI 23 individu termasuk pemain bola sepak ditahan bagi membantu siasatan membabitkan insiden pergaduhan pemain dan penyokong dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai, Jasin, dua hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, polis sudah menahan 23 individu untuk diambil keterangan berhubung insiden pergaduhan berlaku pada perlawanan antara pasukan Kampung Tedong Darat dengan Serkam itu.

“Insiden pergaduhan tercetus sebaik perlawanan berakhir berikutan ada penyokong tidak berpuas hati dengan kekalahan.

“Akibatnya, mereka merusuh dan bertumbuk. Ini adalah insiden pergaduhan bola sepak dan tiada kaitan dengan politik,” katanya sambil menegaskan supaya tiada pihak mengaitkan insiden itu dengan politik.

Mohd Nor Yhazid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Terdahulu, rakaman kejadian pergaduhan berdurasi 46 saat membabitkan pemain dan beberapa penyokong di hadapan SK Pulai menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen termasuk mengaitkannya dengan politik.

Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang selepas berakhirnya perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat antara pasukan Tedong Darat bertemu Serkam berkesudahan pasukan Serkam memenangi perlawanan 3-2.

Bagaimanapun, sebaik wisel penamat dibunyikan, berlaku pergaduhan membabitkan pemain dan penyokong kedua-dua pasukan hingga mengakibatkan beberapa orang mengalami kecederaan.

Difahamkan, kejohanan merebut Piala Penyelaras DUN Serkam bermula awal Mac lalu itu julung kali diadakan atas anjuran Japerun Serkam dan disertai 10 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Perlawanan penentuan juara yang sepatutnya dijadualkan semalam terpaksa ditangguhkan susulan pergaduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 8:58 PM