KEADAAN gerai Mohamed Seeman di Taman Rasah Jaya yang dirobohkan PBT. (Gambar kecil) Mohamed Seeman. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


“SAYA terkejut melihat gerai sudah dirobohkan. Saya tidak sangka mereka merobohkannya tanpa memberi notis terlebih dahulu,” kata peniaga, Mohamed Seeman Mydin Gani, 48.

Mohamed Seeman meluahkan rasa tidak puas hati selepas gerainya di Taman Rasah Jaya, Seremban, dirobohkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) jam 11 pagi ini.

Dia yang menjalankan perniagaan cendol, rojak dan mi goreng di tapak itu sejak lima bulan lalu berkata, pihak berkuasa itu sepatutnya memberikan notis sebelum merobohkan gerainya.

“Saya tidak diberikan apa-apa notis oleh PBT untuk roboh gerai. Sebelum ini saya ada memohon kepada pihak berkenaan melalui wakil rakyat meneruskan perniagaan sehingga akhir bulan ini.

“Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, Yap Yew Weng, berjanji membantu saya tetapi lain pula kesudahannya apabila gerai saya dirobohkan tanpa pengetahuan,” katanya.

Mohamed Seeman berkata, dia ada memohon lesen tetapi tidak diluluskan PBT berkenaan.

“Saya akur apabila PBT tidak meluluskan permohonan lesen tetapi sepatutnya mereka beri ruang atau tempoh tertentu supaya saya dapat mencari tapak baru.

“Kejadian ini menutup mata pencarian saya selama ini kerana ia adalah pendapatan utama untuk menyara keluarga,” kata bapa kepada tiga anak berusia antara 10 hingga 19 tahun.

Sementara itu, Yap ketika dihubungi berkata, gerai itu terpaksa dirobohkan kerana mengganggu lalu lintas.

“Dia ada datang bertemu saya meminta bantuan dan saya sudah memaklumkan kepada Ahli Majlis MPS. MPS meminta dia mencari tapak baru,” katanya yang bersedia membantu Mohamed sekiranya diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 7:34 PM