EMPAT saksi (dari kanan) Jamaludin Shah, Zainuddin, Abdul Rahman dan Roshaidi berbual selepas selepas sesi pendengaran awam RCI mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


BEKAS Pemangku Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, Perlis memaklumkan beberapa nama disebut saksi sebelum ini sudah berada dalam radar pengawasan pihaknya yang dikaitkan dengan penemuan Kem Wang Burma pada Januari 2015.

Saksi ketujuh pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Asisten Superintendan Jamaluddin Shah Mohd Jawan berkata, maklumat disalurkan saksi keenam, S Sivanganam bukan perkara baru dalam Cawangan Khas.

Katanya, 11 nama disebut dalam laporan Sivanganam membabitkan aktiviti penyeludupan migran hanya nama singkatan.

“Sebahagian nama dalam laporan Sivanganam terdapat dalam laporan Cawangan Khas.

“Malah, nama berkenaan bukan maklumat baru, mereka hanya ‘runner’,” katanya ketika memberi keterangan di depan tujuh panel RCI.

Sebaik ditanya pengerusi RCI, Tun Arifin Zakaria, adakah Azim atau Azim wujud, Jamaluddin kemudian menganggukkan kepala.

Jamaluddin melalui pegawai pengendali Khairul Anuar Abd Halim kemudian meminta prosiding tertutup dilakukan berikutan membabitkan maklumat sulit tidak boleh didedahkan kepada umum.

Pada hari kedua prosiding pendengaran minggu lalu, Sivanganam mendedahkan maklumat mengenai Azim atau Aziz yang menjadi orang tengah membantu penyeludupan migran.

Sementara itu, tiga saksi lagi dipanggil memberi keterangan pada hari ketiga prosiding RCI, semalam.

Mereka adalah dua pesara Ketua Balai Polis Kaki Bukit, Perlis, Sub Inspektor Abdul Rahman Kashim dan Sub Inspektor Zainuddin Husin serta seorang lagi Penyelia Pondok Polis Wang Kelian, Koperal Roshaidi Hussin.

RCI disambung esok sehingga Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 7:13 PM