JABATAN Laut Wilayah Selatan membersihkan sisa minyak MFO. FOTO ihsan Jabatan Laut Malaysia
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


JABATAN Laut Wilayah Selatan (Johor) mempunyai maklumat berkaitan kapal tangki asing dipercayai dalang tumpahan minyak Marine Fuel Oil (MFO) di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar di Kota Tinggi, pada 17 April lalu.

Pengarahnya Dickson Dollah berkata, bukti itu diperoleh menerusi imej satelit yang dirakamkan ketika kejadian.

“Kita sudah kenal pasti pelaku, namun tidak boleh mengambil tindakan ketika ini memandangkan ia membabitkan proses undang-undang.

“Bagaimanapun imej satelit yang dirakam sudah mengenalpasti kapal yang menyebabkan pencemaran di perairan Tanjung Balau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, terdapat lima kapal termasuk empat kapal tangki dan sebuah kapal kargo asing melalui perairan itu sebelum tumpahan minyak berlaku.

“Kapal tangki asing itu bersama kapal lain berada di tempat kejadian beberapa hari sebelum tompokan minyak ditemui di pesisir pantai Tanjung Balau.

“Bagaimanapun kapal itu berjaya melarikan diri selepas berita mengenai pembuangan minyak disebarkan melalui media massa,” katanya.

Beliau berkata, hanya kerjasama di peringkat agensi tempatan dan antarabangsa dapat membantu menahan pemilik kapal itu.

“Kerjasama membabitkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar dan peguam negara diperlukan kerana ia membabitkan prosedur undang-undang untuk menahan kapal itu.

“Mungkin tindakan undang-undang akan menjadi lebih mudah jika kapal tangki milik warga asing itu berada dalam perairan negara, tetapi keadaan terkini adalah sebaliknya.

“Apa yang pasti, imej satelit itu memang menunjukkan kebarangkalian yang amat tinggi pembuangan minyak berlaku, cuma nama kapal tidak disebut bagi mengelak situasi luar jangka. Kita tahu (maklumat kapal), tetapi tidak boleh menghebahkannya,” katanya.

Menurutnya, mengikut prosedur biasa, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan menghantar sampel minyak kepada Jabatan Kimia.

Katanya, dari situ siasatan lanjut dilakukan sama ada minyak MFO itu sepadan dengan minyak di kapal tangki yang disyaki.

“Jika kapal itu ditahan, siasatan lanjut dan pendakwaan akan dilakukan mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, selain mendapatkan pampasan dari aktiviti pencemaran di perairan negara.

“Kerajaan terpaksa membiaya sekurang-kurangnya RM1 juta untuk mengendalikan kes pencemaran akibat tumpahan minyak dalam masa seminggu. Kos tinggi itu termasuk kos minyak dan peralatan operasi yang dilaksanakan dan jumlahnya boleh meningkat kepada RM2 juta sekiranya berterusan sehingga dua minggu.

“Itu tidak termasuk kos penyelenggaraan di darat bagi menangani isu kerosakan akibat pembuangan minyak yang terdampar di pesisir pantai serta kerugian nelayan,” katanya.

Berita berkaitan

Sila laksana hukuman berat - Sultan Johor

[UPDATE] 40 guni sisa minyak dikumpulkan

Pencemaran minyak terburuk!

Sengaja buang minyak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 6:08 PM