Tekong dan awak-awak Vietnam masing-masing dijatuhi hukuman denda RM300,000 dan RM30,000 di Mahkamah Sesyen hari ini kerana menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


MAHKAMAH Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM300,000 dan RM30,000 ke atas seorang tekong dan tiga awak-awak warga Vietnam yang menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan.

Tekong, Le Van Minh, 43, turut berdepan hukuman penjara dua tahun manakala awak-awaknya berusia antara 22 hingga 48 tahun pula berdepan hukuman penjara satu tahun sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas semua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) yang dibaca bersama Seksyen 52 (1) (a) (i) dan Seksyen 52 (1)(a)(ii) akta sama.

Mahkamah turut memerintahkan vesel, peralatan komunikasi dan navigasi beserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut dianggarkan bernilai RM500,000 dilucutkan kepada kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama cuba menangkap ikan tanpa kebenaran di bawah mana-mana perjanjian perikanan antarabangsa dan tanpa suatu permit sah dikeluarkan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia mengikut Seksyen 19 Akta Perikanan 1985.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di atas vesel penangkapan ikan asing pada jarak 77.7 batu nautika dari Tanjung Mat Amin, Kuala Kemaman, Kemaman, jam 8.50 pagi pada 2 April lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala semua tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 3:48 PM