SUSPEK menunjukkan barangan milik bekas pelanggannya yang dicuri. FOTO Ihsan Polis
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


SEORANG tukang mengubah suai rumah ditahan kerana memecah masuk rumah yang pernah dibaikinya sebelum mengambil pelbagai barangan berharga apabila mengetahui pemiliknya tiada di rumah.

Suspek warga asing berusia 49 tahun ditahan di perkarangan Hospital Tawau, kira-kira jam 7 pagi, kelmarin, berdasarkan laporan dibuat mangsa pada 14 April lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor dalam kenyataannya berkata, suspek yang mengetahui mangsa tiada di rumah memecah masuk rumah bekas pelanggannya itu di sebuah perumahan, di sini pada 14 April lalu.

“Mangsa seorang peniaga membuat laporan polis jam 1.30 tengah hari hari sama selepas mendapati keadaan rumahnya berselerak selain beberapa barangan berharga hilang dipercayai dicuri,” katanya.

Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan Ops Kesan sebelum menahan suspek di perkarangan hospital berkenaan.

“Dengan dipandu arah suspek, polis melakukan pemeriksaan berasingan di sebuah kedai dan bilik sewa sebelum menemui barangan dicuri.

“Antara barangan curi dirampas termasuk kamera DSLR jenama Nikon berserta lensa, komputer riba jenama Acer berserta kabel pengecas, seutas jam tangan dan beg galas jenama Apacs,” katanya.

Nor Azizulkifli berkata, siasatan awal mendapati, suspek mengaku melakukan jenayah pecah rumah seorang diri selain pernah bekerja sebagai tukang ubah suai rumah di rumah mangsa.

“Suspek ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 2:07 PM