AZAMI (dua dari kiri) melakukan pecah tanah penukaran paip lama dan uzur di Kampung Telaga Nibong, Tanjung Chat, Kota Bharu, semalam.
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


AIR Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam proses menggantikan saliran paip uzur sepanjang 3,000 kilometer (km) di negeri ini yang dijangka mengambil masa lima tahun hingga 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, proses menggantikan paip uzur itu dilaksanakan secara berperingkat membabitkan kos RM973 juta menerusi pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Katanya, bagi tahun ini, PAAB meluluskan peruntukan RM206 juta bagi menggantikan paip di Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, Kota Bharu Utara, Kota Bharu Timur dan Kota Bharu Selatan.

“Penggantian paip ini dilaksanakan selepas Kelantan menandatangani Program Migrasi pada 2016, membabitkan penukaran paip lama jenis AC yang berusia 30 tahun dan dianggarkan lebih 4,000 km paip jenis ini ada di Kelantan.

“Paip ini kerap pecah dan bocor serta tidak dapat mampu menampung keperluan bekalan air semasa penduduk Kelantan, sekali gus memberi kesan kepada peningkatan kadar air tak terhasil (NRW).

“Bagi mengatasi masalah ini, AKSB mengenal pasti kawasan kritikal membabitkan masalah NRW di semua jajahan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penukaran Paip Lama Di Bawah Pembiayaan PAAB di Kampung Telaga Nibong di sini, semalam yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif AKSB, Ab Rashid Mohd Yusoff.

Azami berkata, objektif cadangan penggantian paip lama dan uzur bagi mengurangkan gangguan bekalan air bersih, memastikan bekalan mencukupi dan berterusan terutama pada waktu puncak serta musim perayaan, selain mengurangkan kadar NRW.

“Pelaksanaan ini dapat menyelesaikan aduan mengenai permasalahan bekalan air dan pertambahan 50 peratus akaun pengguna baharu.

“Sehingga kini, jumlah pengguna akaun semasa AKSB adalah 258,000. Saya berharap program menggantikan paip dalam tempoh lima tahun ini memberi impak besar kepada sistem bekalan air di Kelantan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 8:01 AM