LAPORAN portal berita Harian Metro, Rabu lalu mengenai dua beradik dilaporkan hilang dari rumah sewa ibu mereka di Taman Jujur, Sikamat, Seremban.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


POLIS masih mengesan dua beradik perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sewa ibunya di Taman Jujur, Sikamat, Seremban, pada 14 April lalu.

Nur Hidayah Zahid Hussin, 8, bersama kakaknya berusia 13 tahun menghilangkan diri sejak tujuh hari lalu dan sehingga kini, tiada petunjuk jelas mengenai mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, pihaknya memantau kes itu selepas menerima laporan daripada ibu mangsa.

“Berdasarkan laporan diterima, kanak-kanak itu bukan hilang sebaliknya keluar rumah dan melarikan diri mengikut kakaknya.

“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan dan berusaha mengesan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Hidayah dan kakaknya dikatakan membawa beg sekolah diisi pakaian pada 1.30 tengah hari 14 April lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mejar Ahmad Fauzi Othaman di talian 019-6313633 atau 06-6033222.

Portal berita Harian Metro pada Rabu lalu melaporkan, dua beradik perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sewa ibunya di Taman Jujur, Sikamat.

Berita berkaitan

'Dua beradik dilapor hilang'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 10:05 PM