GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini

MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menetapkan kadar zakat fitrah pada dua harga iaitu RM7 dan RM10 bagi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, penetapan harga fitrah adalah berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan penduduk Islam di Johor, pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Katanya, kadar RM7 bagi umat Islam di negeri ini yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super Tempatan, manakala kadar RM10 bagi umat Islam di Johor yang menjadikan makanan hariannya beras selain jenis Super Tempatan seperti beras wangi dan beras basmathi.

“Seramai 1,659 amil fitrah dilantik dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut fitrah di seluruh negeri ini, selain pelantikannya mengikut kawasan di setiap daerah bertujuan memudahkan umat Islam.

“Sebanyak RM16 juta dengan anggaran dua juta umat Islam di Johor akan membayar zakat fitrah bagi tahun 1440H/ 2019M.

“Seramai 60,000 golongan fakir dan miskin akan memperoleh bantuan hari raya disampaikan MAINJ, selain bayaran kepada mereka akan disampaikan menerusi amil pada pertengahan ramadan bagi membolehkan urusan persiapan raya,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, hari ini.


AMINOLHUDA Hassan. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Aminolhuda berkata, 15,381 penerima bantuan sara hidup bulanan MAINJ menerusi agihan wang fidyah mengikut data terakhir pada Disember lalu.

Katanya, sumbangan diberi sebanyak RM150 setiap individu dengan agihan sebanyak RM2,307,150 dan kaedah pelaksanaan adalah menerusi akaun penerima, selain cadangan pelaksanaannya bermula April ini.

“Adalah menjadi kesalahan tidak membayar zakat dan memungut zakat tanpa kebenaran seperti mana termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor Tahun 1997,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 7:31 PM