WARGA emas Rahmah Maarof, 74, menunjukkan catitan zikir didalam buku ketika ditemui di rumahnya di Taman Penghulu Jabar, Bukit Katil. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


KEHIDUPAN harian wanita warga emas Rahmah Maarof, bagaikan tidak lengkap jika tiada zikir dilafazkan sehingga membuatkannya tidak lena tidur.

Bagi warga emas berusia 74 tahun itu, amalan zikir adalah rutin wajib hariannya dan setiap hari dia akan memastikan sekurang-kurangnya akan berzikir sebanyak 12,000 kali.

Menurutnya, walaupun kebelakangan ini kesihatannya kerap terganggu, namun dengan menjadikan zikir peneman hariannya, perasaan serta fikiran terasa sentiasa tenang tanpa memikirkan sakit yang dirasainya.

Katanya, jika dahulu dia hanya berzikir pada waktu tertentu dan sesudah solat, tetapi sejak 2014 selepas terbabit kemalangan warga emas itu menghabiskan masa sehariannya dengan zikir, malah kini dia mampu melafazkan zikir lebih 45,000 kali sehari.

“Selepas terbabit kemalangan pada Mac 2014, kesihatan merosot dan penglihatan turut terjejas membuatkan saya tidak boleh menunaikan solat serta mengaji al-Quran jadi untuk mendekatkan diri dan mengingati Allah SWT, saya habiskan masa dengan berzikir.

“Akhirnya ia menjadi rutin harian sehingga hari ini.

“Awalnya hendak habiskan satu tasbih untuk capai 100 kali agak susah tetapi semakin lama, lidah semakin lembut. Sekejap sahaja sudah dapat 1,000 dan seterusnya 10,000,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Penghulu Jabar, Bukit Katil, Melaka.

Bekas guru mengaji itu berkata, setiap hari dia mengamalkan zikir berbeza antaranya pada Ahad ‘ya hayyu ya qayyum’ manakala Isnin ‘la haula wa la quwwata illa billah’.

“Sejak melakukan amalan ini hati menjadi tenang dan sejuk tiada lagi perasaan cepat marah, malah hari Jumaat adalah paling seronok berzikir kerana penghulu segala hari.

“Setiap bacaan 100 kali saya akan tandakan di dalam buku, ini membolehkan jumlah yang tepat diperoleh.

“Pernah suatu hari bacaan zikir tidak sampai 10,000, dan saya tidak boleh lelapkan mata menyebabkan saya bangun dan sambung berzikir,” katanya.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, walaupun sedang memasak mahupun mengemas, zikir boleh diucapkan tidak semestinya dilakukan selepas solat sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 3:10 PM