MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga kiri) melihat model Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin (PPIT) di Kampung Tersusun, Tanah Hitam, Chemor. Turut hadir Penaung PPIT Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah (dua kiri). FOTO Muhaizan Yahya
Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


DATUK Bandar Ipoh yang baharu akan dilantik selewat-lewatnya hujung bulan ini bagi menggantikan Datuk Zamri Man yang dikatakan ‘menghilang’ tanpa berita sejak beberapa bulan lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri baru-baru ini menamakan seorang calon dan ia sudah diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Insha-Allah, pada bulan ini juga seorang Datuk Bandar yang baharu bagi Bandaraya Ipoh akan memulakan tugas dan masalah ketiadaan Datuk Bandar ini akan selesai dalam masa terdekat ini.

“Beliau (Datuk Bandar Ipoh baharu) adalah anak tempatan yang sudah berkhidmat di merata-rata tempat, seorang yang berpengalaman dan boleh berbahasa Jepun,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Meletakkan Batu Asas di tapak projek Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin (PPIT) di Chemor, hari ini.

Turut hadir Penaung PPIT, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Mengenai status Datuk Bandar sebelum ini yang menghilangkan diri, Ahmad Faizal berkata, beliau menyerahkan kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk menentukannya.

“Pihak SUK akan mengambil tindakan, saya kira tentunya ada prosedur tertentu berkenaan masalah sedemikian (kehilangan), namun yang penting seorang Datuk Bandar baharu akan memulakan tugas dan segala urusan di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan berjalan seperti biasa,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Kerajaan Perak akan melantik Datuk Bandar Ipoh yang baharu bagi menggantikan Zamri yang dikatakan sakit dan sudah tidak bertugas sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Paul Yong Choo Kiong dilaporkan berkata, Zamri meninggalkan kerja tanpa notis selama beberapa bulan.

Sementara itu, berkenaan program hari ini, Ahmad Faizal berkata, kira-kira RM3 juta diperuntukkan untuk projek fasa pertama PPIT dan ia akan memakan masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

Katanya, kerja-kerja asas pembinaan seperti meratakan tanah sudah dilakukan sebelum peringkat pembinaan seterusnya akan dijalankan.

Berita berkaitan

Ipoh bakal dapat Datuk Bandar baru

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 1:38 PM