Norsyazwani Nasri
am@hmetro.com.my


LELAKI berusia 45 tahun ke atas berisiko tinggi menghidap kanser prostat, malah ia antara penyakit utama dihidapi golongan terbabit ketika ini.

Pakar Perunding Kanan Urologi Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Teh Guan Chou berkata, antara tanda utama seseorang menghidap kanser prostat adalah kerap kencing ketika malam, aliran air kencing yang lemah dan dirasakan tidak habis keluar.

“Secara umumnya seorang daripada lapan lelaki berusia 45 tahun dan ke atas berisiko mendapat kanser prostat. Kita tidak mempunyai statistik tepat mengenai perkara ini.

“Namun, kita merawat seramai 150 orang pesakit itu setiap minggu di HUS,” katanya selepas memberikan ceramah Kempen Kesedaran Prostat 2019 di Klinik Ginekologi HUS, Kuching, hari ini.

Beliau berkata, satu-satunya cara mencegah adalah dengan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit berkenaan dan tidak mengabaikan tanda utama.

“Kanser prostat kerap berlaku pada lelaki. Di Malaysia, ia berada pada kedudukan keempat selepas kanser usus, paru-paru serta kanser hidung dan tekak.

“Penghidap kanser prostat memiliki peluang sangat baik untuk sembuh berbanding beberapa kanser lain jika seseorang itu melakukan aktiviti saringan secara tahunan,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan lelaki berusia 45 tahun segera bertemu doktor jika berasa ada simptom penyakit itu.

“Mereka juga dinasihatkan tidak merokok dan mengambil minuman keras selain mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 12:00 PM