SITUASI pencemaran pesisir pantai di Tanjung Balau dirakam menggunakan dron. FOTO Ihsan Jabatan Laut Johor
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Jabatan Laut Wilayah Selatan (Johor) memperluaskan pemantauan operasi hari ketiga pembersihan sisa tumpahan minyak di perairan Tanjung Balau membabitkan Pulau Lima dan Pulau Mungging, semalam.

Penolong Pegawai Laut, Roslee Ibrahim berkata, perluasan kawasan pemantauan ke dua lokasi itu berikutan pihaknya tidak menemui tompokan baharu di perairan berkenaan.

Katanya, keputusan memperluaskan lokasi baru itu juga berdasarkan maklumat diperoleh daripada nelayan yang mendakwa tidak menemukan tompokan minyak di perairan itu, kelmarin.

“Hasil temu bual bersama nelayan Tanjung Balau pagi ini (semalam), mereka mengesahkan tidak menemui tompokan baharu tumpahan minyak di laut, malam tadi (kelmarin).

“Berdasarkan maklumat itu, kami mengambil keputusan memperluaskan pemantauan dari perairan Tanjung Balau hingga ke Pulau Lima dan Pulau Mungging,” katanya ketika dihubungi, semalam.


SITUASI pencemaran pesisir pantai di Tanjung Balau dirakam menggunakan dron. FOTO Ihsan Jabatan Laut Johor

Menurutnya, dengan kekuatan 10 anggota, Bot Al Nilam memulakan operasi pemantauan bermula jam 8 pagi semalam.

“Ia dijangka berakhir pada jam 6 petang, memandangkan tempoh itu diperlukan untuk mendapatkan peralatan tambahan yang dihantar ibu pejabat melalui laluan darat hari ini.

“Sebanyak 40 absorbent boom akan tiba dan ia akan digunakan bagi menyerap kesan tumpahan minyak sekiranya ditemui,” katanya.


LAPORAN Harian Metro pencemaran Tanjung Balau.

Mengulas mengenai pencarian hari kedua semalam, Roslee berkata, tiada peralatan digunakan memandangkan pihaknya tidak menemui tompokan baharu.

“Pemantauan hari kedua semalam membabitkan kawasan di Tanjung Balau, Batu Layar hingga ke perairan Tompok Utara, namun tidak menemui tumpahan minyak MFO (Marine Fuel Oil) itu,” katanya.

Menurutnya, hujan di perairan itu semalam membantu proses pelarutan tumpahan minyak.

“Hujan boleh memecahkan dan menipiskan tompokan minyak selain keadaan cuaca panas pula membantu proses semula jadi pengewapan minyak,” katanya.


LAPORAN Harian Metro pencemaran Tanjung Balau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 6:02 AM