KUALA LUMPUR 20 APRIL 2019. Penyebaran rakaman kamera litar tertutup (CCTV) prosiding perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 203A kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) berhubung penularan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika prosiding mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan dibuat susulan satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Batu 9 Cheras, hari ini.

“Berhubung penularan rakaman CCTV 'court recording and transcription (CRT)' ketika prosiding perbicaraan mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri itu, polis sudah menerima satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Batu 9 Cheras, hari ini.

“Sehubungan itu, polis membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat penularan video berkenaan di laman sosial mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana menyebarkan maklumat terlindung.

“Dalam masa yang sama juga polis akan menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 233 AKM atas kesalahan pendedahan komunikasi yang dilarang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, tular di laman sosial Facebook video berdurasi dua minit 12 saat itu bertajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ memaparkan rakaman peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang menyoal saksi terbabit dalam kes itu.

Difahamkan, rakaman itu dimuat naik menerusi akaun bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil tengah hari semalam dan sehingga kini sudah ditonton lebih 300,839, dikongsi lebih 4,327 akaun Facebook dan mendapat lebih 2,300 komen.

Menerusi tajuk dimuat naik Isham, adalah dipercayai bahawa rakaman CCTV itu diambil ketika prosiding hari kelima Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Berita berkaitan

Polis buat laporan

Rakaman CCTV bicara Najib tular

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 11:15 PM