Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada Abdul Khair. FOTO Zunnur Al Shafiq
Nor Akmar Samudin
akmar@nstp.com.my


PESERTA dari Malaysia, Abdul Khair Jalil dan Nor Farhatul Faizurah Panut muncul juara qari dan qariah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 2019 hari ini.

Abdul Khair menang dengan markah 93.02 peratus dan Nor Farhatul 87.05 peratus.

Mereka menerima hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai, RM40,000.

Naib johan qari dan qariah ialah Yassine Bekouassa dari Algeria dengan markah 91.75 peratus dan Wardatun Nisa Hasa dari Indonesia (84.88 peratus).

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, cenderahati dan sijil penghargaan.

Tempat ketiga qari dan qariah dimenangi llyas Lamhayahoui dari Maghribi (89.92 peratus) dan Karimah Hayibaraheng dari Thailand (80.46 peratus).

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000,

cenderahati dan sijil penghargaan.

Sementara itu, johan hafazan dimenangi qari dari Sweden, Mohamed Abdi (96.05 peratus) dan Fatouma Ousseni Moussa dari Nigeria (92.96 peratus).

Mereka menerima hadiah kepingan emas bernilai RM70,000 dan wang tunai RM25,000.

Tempat kedua disandang qari dan qariah dari Kanada dan Palestin iaitu Mohamad Maruf Hossain (94.26 peratus) dan Hadeel K A Madfaa (92.83 peratus).

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM20,000.

Pemenang tempat ketiga hafazan dimenangi qari dan qariah dari Kenya dan Nigeria iaitu Heytham Sagar Ahmad (94.11 peratus) dan Hasiya Usman Jibrilla Mohammed (88.58 peratus). Penyampaian hadiah disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.


Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan hadiah kepada Nor Farhatul Fairuzah. FOTO Zunnur Al Shafiq

MTHQA ke-61 2019 berlangsung selama enam hari dari 15 April lalu hingga hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Seramai 14 hakim terbabit dalam penghakiman dari aspek tajwid (35 markah), taranum (25 markah), fasahah (20 markah) dan suara (20 markah).

Hafazan membabitkan mutu hafazan dan kelancaran (55 markah), tajwid dan fasahah (35 markah) serta suara, persembahan dan taranum (20 markah).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 10:37 PM