Tuan Mohd Asri dan Hartini menunjukkan Anugerah MLAA11 bagi Kategori Khas Media. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


ANUGERAH tahunan Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA) ke-11 menyaksikan sisipan Dekotaman Harian Metro menerima anugerah pengiktirafan media untuk tiga tahun berturut-turut, malam ini.

Harian Metro diiktiraf menerusi artikel Reka Bentuk ‘Biophilic’ Trend Terkini ditulis Penolong Pengarang Rencana Harian Metro, Hartini Mohd Nawi.

Anugerah itu adalah pengiktirafan kepada sisipan Dekotaman yang menyajikan maklumat bermanfaat buat masyarakat negara ini, khususnya dalam lapangan pembangunan landskap negara.

Trofi disampaikan Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM), Prof Madya LAr Dr Suhardi Maulan kepada Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein diiringi Hartini.

Tuan Mohd Asri berkata, Harian Metro menerusi sisipan Dekotaman terus menjadi platform terbaik kepada masyarakat untuk mendapatkan idea segar dunia seni bina, landskap dan hiasan dalaman.

“Dekotaman akan terus menyajikan artikel terbaik kepada pembaca pada masa akan datang seiring dengan kehendak terkini masyarakat,” katanya.

Majlis itu juga mengiktiraf penggiat landskap terbaik di Malaysia serta antarabangsa dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang dilantik sebagai ahli kehormat ILAM.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan terus komited untuk memastikan seni bina landskap yang dihasilkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Komitmen berterusan ini akan menjamin kehijauan alam sekitar seperti inisiatif ‘River of Life’ yang mengubah imej Sungai Gombak dan Sungai Klang.

“Inisiatif ini juga mampu merealisasikan hasrat untuk Malaysia menjadi negara taman terindah pada 2020 dan menjadi penanda aras kepada negara lain,” katanya.

Dalam majlis sama, Berita Harian turut menerima anugerah media menerusi artikel Seni bina Landskap Sedia Ruang Berinovasi.

ILAM memperkenalkan dua kategori baru iaitu kategori Anugerah Inisiatif Hijau bagi Kategori Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Kategori Profesional (International Entry) sempena anugerah tahunan Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA) ke-11.

Tahun ini, ILAM menerima penyertaan sebanyak 141 dari Malaysia dan antarabangsa termasuk Singapura, Filipina, China serta Vietnam.

Majlis yang diadakan serentak dengan malam gala ILAM itu sebahagian program sempena bulan Seni Bina Landskap Sedunia yang dirai setiap April menerusi seminar, persidangan serta kempen kesedaran awam bertujuan memperkenalkan bidang arkitek landskap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 10:35 PM