Krew kapal Al Nilam menggunakan ‘absorbent boom’ bagi memerangkap tompokan minyak. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


EMPAT puluh guni sisa minyak Marine Fuel Oil (MFO) berjaya dikumpul menggunakan ‘absorbent boom’ pada hari pertama pembersihan minyak di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi semalam.

Penolong Pegawai Laut, Jabatan Laut Wilayah Selatan (Johor) Roslee Ibrahim berkata, jumlah minyak dikumpulkan itu hasil usaha pembersihan di kawasan seluas 500 hingga 700 meter persegi dari lokasi tumpahan minyak.

“Kerja pembersihan perairan Tanjung Balau dimulakan 6 pagi semalam selepas pemantauan menggunakan drone dan sistem komputer Apasa melalui satelit menemui tompokan minyak.

“Hasilnya 40 guni minyak berjaya diserap menggunakan ‘absorbent boom’ pada hari pertama misi pembersihan semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga pemerintah tempat kejadian berkata, pemantauan hari kedua pembersihan minyak di laut tidak menemui tompokan minyak baru.

“Operasi bermula 8 pagi tadi diteruskan dengan mengesan tompokan minyak di lokasi sama yang dilakukan semalam.

“Justeru kerja pembersihan pada hari kedua difokuskan di lokasi sama selepas kedudukan minyak dikesan melalui sistem satelit dan drone,” katanya.

Menurutnya, pasukannya masih menggunakan 10 anggota termasuk pegawai bot Al Nilam bagi melaksanakan pembersihan kawasan terjejas.

“Jika didapati tompokan minyak MFO masih besar, kami akan menambah kekuatan bot dan anggota.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada pemantauan hari ini sama ada menambah satu lagi bot iaitu Bot Al Tair dari Tanjung Pelepas pada operasi hari ketiga, esok atau tidak,” katanya.

Menurutnya, tiga kaedah pemantauan digunakan termasuk penglihatan, sistem komputer Apasa dihubung melalui satelit dan drone.

Berita berkaitan

[UPDATE] Seminggu bersih sisa minyak di laut

[UPDATE] Drone jejak tumpahan minyak di Tanjung Balau

Pencemaran minyak terburuk!

Onar kapal asing

Angkara siapa?

Sengaja buang minyak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 3:35 PM