Fazlisyam (dua dari kanan) menunjukkan antara individu yang diminta tampil membantu siasatan. FOTO Ihsan PDRM
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


POLIS Selangor mengesan 145 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes jenayah komersial di Selangor sejak 2006 sehingga kini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, semua individu berusia 20 hingga 50-an itu dicari bagi siasatan membabitkan kes penipuan dan pecah amanah.

“Mereka yang merangkumi pelbagai bangsa itu masing-masing 103 lelaki dan 42 wanita.

“Semua individu itu dikehendaki polis kerana terbabit dengan pelbagai jenayah komersial di Selangor sejak 2006,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, pihaknya meminta semua individu itu tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi pegawai penyiasat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Semua gambar mereka turut dipaparkan di dalam akaun rasmi Facebook (FB) Polis Selangor.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu itu boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat JSJK Selangor atau ke balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Fazlisyam berkata, pihaknya juga menggiatkan usaha mengesan semua individu berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, 32 daripada 115 individu lain yang dicari pihaknya sebelum ini sudah tampil bagi membantu siasatan.

“Ia merangkumi 28 peratus dan kita berharap individu lain turut tampil memberi kerjasama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 12:36 PM