FOTO hiasan
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


TIGA banduan lelaki yang melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, semalam, berjaya ditahan semula di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mereka masing-masing berusia 24, 25 dan 29 tahun berjaya ditahan semula antara jam 12.30 tengah malam hingga 4.10 pagi tadi.

Katanya, pihaknya dimaklumkan kejadian tiga banduan melarikan diri pada jam 11.57 malam.

“Susulan itu, polis melancarkan gerakan memburu dan semua mereka berjaya ditahan masing-masing dua di sekitar Rumah Sri Kenangan, Padang Tembak dan seorang di Cure & Care Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Padang Tembak.

Menurut Abdul Rahim, gerakan memburu banduan lolos ini dibantu pihak penjara termasuk mengesan kedudukan banduan berkenaan.

“Kita terus mengepung kawasan dipercayai tempat persembunyian menyebabkan mereka tidak dapat lari lebih jauh.

“Dalam tempoh singkat, kita berjaya menahan tiga banduan itu masing-masing dua berasal dari negeri ini dan seorang dari Perak.

“Polis memuji tindakan pantas pihak penjara memaklumkan kejadian ini sehingga banduan dapat ditangkap kembali,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, tiga lelaki itu sedang menjalani hukuman penjara antara 17 hingga 38 tahun membabitkan pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

“Polis sedang menjalankan siasatan bagaimana banduan ini meloloskan diri dari penjara. Kes disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 akta sama.

“Saya harap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau bimbang kerana semua banduan ini dapat ditangkap semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 12:26 PM