Muhammad Syazwan Mat Aini (kanan) bersama Mohd Nazri Norman krew kapal Al Nilam menggunakan drone untuk merakam gambar tumpahan minyak. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


JABATAN Laut Wilayah Selatan (Johor) menggunakan drone bagi merakam gambar dan video tumpahan minyak di Perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi bagi membolehkan mereka mengenal pasti kawasan terjejas dan merangka usaha pembersihan sejak semalam.

Pengarahnya, Dickson Dollah berkata, penggunaan drone memudahkan anggotanya membuat anggaran kawasan terjejas akibat pembuangan minyak ke laut.

“Penggunaan drone menjadi kebiasaan untuk kita mengatasi masalah tumpahan minyak di laut.

“Ini kerana kita boleh melihat dengan jelas dari atas ke mana hala tuju minyak, sama ada menghala ke laut atau ke pantai berdekatan.

“Jadi dengan cara sedemikian, kita boleh mengambil langkah seterusnya termasuk merangka usaha pembersihan tumpahan minyak,” katanya ditemui ketika di bot Jabatan Laut, Al Nilam, semalam.

Beliau berkata, drone khas itu diselia pasukan kecemasan Jabatan Laut Malaysia dan digunakan sejak hari pertama tumpahan minyak berlaku.

“Memang kita ada unit kecemasan yang bergerak bersama bot dan ia bukan setakat membantu misi pembersihan tumpahan minyak malah bersedia ketika berlaku kemalangan kapal.

“Kita ada kepakaran mengendalikan drone ini dan fungsinya untuk merakam gambar dan video untuk dijadikan bahan bukti dan menyimpan maklumat sebagai rujukan,” katanya.

Menurutnya, drone akan merakam gambar dan video pada setiap pergerakan dan perubahan kapal.

Katanya, drone biasanya digunakan Jabatan Laut dalam tiga keadaan termasuk dalam siasatan kemalangan kapal, operasi mengangkat kapal yang tenggelam dan operasi tumpahan minyak.

“Ada masanya kita menggunakan drone untuk penyelenggaraan alat bantuan pelayaran dan sebagainya,” katanya.

Berita berkaitan

Pencemaran minyak terburuk!

Onar kapal asing

Angkara siapa?

Sengaja buang minyak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 11:56 AM